Terengganu berjaya layak ke peringkat suku akhir selepas menewaskan Sabah 2-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B.
Selepas tewas 1-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi pertama kumpulan, Terengganu memerlukan kemenangan 2-0 ke atas Sabah jika ingin mara ke peringkat seterusnya.
Manakala Sabah pula hanya memerlukan keputusan seri atau menang jika ingin layak selaku juara kumpulan. Keyakinan timbul selepas mereka menewaskan JDT 2-1 dalam aksi kedua kumpulan.
Separuh masa pertama menyaksikan Terengganu yang juga pemenang pingat emas SUKMA 2022 berusaha mengancam gawang Sabah menerusi Daniel Shafik Mohamad dan Shahmeer Rusli.
Malangnya, usaha mereka mendapatkan gol awal kerap disekat barisan pertahanan Sang Badak diketuai Rowellson Jarry.
Terengganu yang dibimbing Subri Sulong kemudiannya terpaksa melakukan pertukaran awal pada separuh masa pertama.
Subri memasukkan Farish Daniel Mohd Rahima dan Syafiq Aiman Maharim dan penjaga gol, Faris Haikal Mustafa menggantikan Daniel Shafik, Muhammad Arsyad Shamsul Aswadi dan Aiman Haziq Mohd Raimi.
Pertukaran tersebut masih gagal menjelmakan jaringan yang diperlukan Terengganu. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Terengganu terus memberi tekanan ke atas anak buah Jelius Ating untuk mendapatkan gol pendahuluan.
Ini memaksa penjaga gol Sabah, Amir Jef Anjam bekerja keras menafikan setiap percubaan yang direncana skuad muda Penyu.
Gol yang dicari Terengganu akhirnya hadir pada minit ke-70 menerusi Muhammad Iman Zaidi Sulong. Sembilan minit kemudian, Syafiq Aiman memastikan kemenangan menjadi milik pasukan Pantai Timur itu.
Keputusan ini menyaksikan Terengganu memintas Sabah sebagai juara Kumpulan B. Meskipun Terengganu, JDT dan Sabah berkongsi tiga mata, Terengganu dan JDT layak ke suku akhir atas kelebihan jaringan.