Johor membuka kempen Kumpulan B SUKMA 2024 dengan langkah kanan apabila menewaskan Terengganu 1-0 di Stadium Tun Zaidi Adruce, Sibu.
Pertembungan dua pasukan ini cukup menarik kerana majoriti pemain yang beraksi buat Johor dan Terengganu turut berentap dalam saingan Piala Belia, Piala Presiden dan Piala MFL.
Muhammad Danial Mohd Nor mengetuai cabaran pasukan Pantai Timur itu. Manakala Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri mengetuai cabaran pasukan dari selatan tanah air itu.
Separuh masa pertama menyaksikan Johor berusaha mencari kelebihan gol awal menerusi Muhammad Naim Zainudin dan Najmudin Akmal Kamal Akmal.
Ini memaksa barisan pertahanan Terengganu diketuai Syafiq Ikhwan Muthar @ Mukhtar bekerja keras menafikan cubaan Johor.
Terengganu turut berusaha mendapatkan gol menerusi Danial Shafik Mohamad tetapi usaha mereka juga tidak berhasil.
Ketumpulan serangan kedua-dua pasukan memastikan keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, pengendali Johor, Gonzalo Sanz Zaballos memasukkan G. Pavithran untuk menambah sengat di bahagian serangan.
Percaturan jurulatih Sepanyol itu membuahkan hasil apabila Aysar Hadi meledakkan gol kemenangan buat Johor pada minit ke-61.
Tersentak, Terengganu yang dibimbing Subri Sulong berusaha mendapatkan jaringan penyamaan. Walau bagaimanapun, kekentalan barisan pertahanan Johor diketuai Aysar Hadi memastikan mereka meraih tiga mata penuh.
Keputusan ini menyaksikan Johor mengetuai Kumpulan B dengan tiga mata. Selepas ini, Johor akan menentang Sabah pada 14 Ogos.