Perlawanan penentuan tempat ketiga Sultan Azlan Shah Cup 2024 menyaksikan Malaysia ditundukkan oleh New Zealand meskipun memiliki kelebihan di awal permainan.
Setelah sekadar menamatkan aksi round robin di kedudukan ketiga, skuad negara turun pada perlawanan ini bagi menebus kedukaan gagal melayakkan diri ke final dengan mempertaruhkan barisan terbaik.
Ketika aksi di round robin lalu, pasukan negara berjaya mencipta kejutan dengan menewaskan New Zealand 6-4 hasil hatrik Azrai Aizad Abu Kamal dan satu gol masing-masing daripada Faizal Saari, Azimuddin Syakir dan Muhajir Rauf.
Skuad bimbingan Sarjit Singh bermula garang dengan meledak gol pendahuluan seawal minit ketiga menerusi Azrai Aizad yang bijak menyudahkan hantaran jauh dari Faizal Saari.
New Zealand pantas membalas semula jaringan tersebut apabila pukulan sudut penalti yang diambil oleh Scott Cosslett terbias ke arah kayu Syed Syafiq sebelum menembusi gawang Malaysia dua minit berselang
Lima minit kemudian, Jonty Elmes meletakkan New Zealand di hadapan setelah menyambar hantaran lintang daripada rakan sepasukannya hasil satu serangan balas pantas yang gagal disekat oleh pertahanan negara.
The Speedy Tigers terus mengasak kubu New Zealand dengan beberapa percubaan daripada Azrai Aizad dan Fitri Saari namun kekebalan benteng lawan menjadi penghalang untuk mencari gol penyamaan.
Separuh masa pertama tamat, Malaysia 1-2 New Zealand.
Kembali dari rehat, Malaysia terus melancarkan serangan dan berpeluang menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-39 namun penalty stroke yang diambil oleh Azrai Aizad sedikit tersasar ke arah kanan pintu gol New Zealand.
Ketika skuad negara rancak menyerang, New Zealand hadir dengan gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti Dane Lett pada minit ke-48 yang berjaya mengelirukan penjaga gawang, Hafizuddin Othman.
Usaha berterusan pasukan kebangsaan akhirnya menemui jaring gol lawan apabila Fitri Saari berjaya merapatkan kedudukan selepas mudah menolak bola ke gawang New Zealand seminit sebelum tamat permainan.
Perlawanan di Stadium Sultan Azlan Shah tamat dengan keputusan 3-2 memihak New Zealand.
Kemenangan ini menyaksikan skuad hoki negara menamatkan saingan Sultan Azlan Shah Cup 2024 di tempat keempat sementara tempat ketiga disandang oleh New Zealand.