Bakat Thailand paling menyerlah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Suphanat Mueanta akhirnya melebarkan sayapnya ke kancah bola sepak eropah apabila menyertai kelab Belgium, OH Leuven secara pinjaman dari Buriram United.
Pada usia hanya 21 tahun, Mueanta mencipta sensasi yang tersendiri apabila membuat penampilan sulung profesionalnya seawal usia 15 tahun bersama Buriram United dan mencipta rekod sebagai pemain termuda dalam sejarah kejuaraan Thailand.
Kehadiran Suphanat ke OH Leuven itu diumumkan sendiri oleh pihak kelab menerusi media sosial rasmi kelab. Pemain yang mampu beraksi di posisi sayap dan penyerang itu bakal menyarung jersi bernombor 19 bersama OH Leuven.
Untuk rekod, Suphanat telah merekodkan 145 penampilan bersama Buriram United dan telah meledak 32 gol selain menyumbang 24 bantuan gol. Bagi pemain muda seperti beliau, menjaringkan gol dengan banyak buat kelab adalah sesuatu yang mengujakan.
Namun Suphanat dijangka tidak berdepan laluan mudah untuk menembusi kesebelasan utama OH Leuven apabila beliau terpaksa bersaing dengan nama-nama besar seperti bekas penyerang Leicester City, Nathaniel Opoku dan pemain sayap lincah berasal dari Ivory Coast, Konan N’Dri.
OH Leuven kini berada di tangga ke-12 Liga Belgium dengan mengumpul 5 mata selepas 6 perlawanan yang telah diharungi.