Hasrat Goh Soon Huat dan Shevon Lai mempertahankan kejuaraan Swiss Open terbantut apabila mereka terkandas di peringkat suku akhir.
Soon Huat-Shevon terpaksa akur dengan kehebatan beregu campuran Thailand, Dechapol Puavanukroh dan Supissara Paewsampran.
Selepas beberapa wakil negara termasuk Leong Jun Hao terkandas di pusingan kedua, Soon Huat-Shevon menjadi satu-satunya wakil Malaysia di peringkat suku akhir.
Dechapol-Supissara menjadi penghalang antara mereka dan peringkat separuh akhir. Menariknya, kedua-dua beregu ini sudah bertemu sebanyak empat kali dengan masing-masing meraih kemenangan.
Kali terakhir Soon Huat-Shevon menentang Dechapol-Supissara ialah pusingan pertama All England Open 2025. Mereka menang dengan keputusan 22-20, 9-21, 21-18.
Set pertama menyaksikan pada awalnya, Soon Huat-Shevon mendahului pada kedudukan 11-6. Dechapol-Supissara berjaya mengejar dan menyamakan kedudukan 11-11.
Beregu Thailand itu kemudiannya mempamerkan prestasi mantap sebelum meraih kemenangan 21-18.
Set kedua menyaksikan Dechapol-Supissara mendahului pada kedudukan 11-5. Meskipun Soon Huat-Shevon cuba mengejar, pilihan kelapan kejohanan itu kekal tenang sebelum meraih kemenangan 21-10.
Dechapol-Supissara akan menentang wakil China, Feng Yanzhe dan We Yaxin di peringkat separuh akhir. Soon Huat-Shevon pula kini mengalihkan fokus kepada Badminton Asia Championship (BAC).