Penyerang Kedah Darul Aman, Syafiq Ahmad telah berkongsikan sisi lain Nafuzi Zain selaku pengendali pasukan Kedah.
Syafiq Ahmad menyertai Kedah secara pinjaman daripada JDT bagi musim 2024/2025 dan berjaya meledak gol seawal perlawanan pertama Liga Super menentang PDRM.
Penyerang berusia 29 tahun itu muncul dalam sebuah program Malaysian Football League untuk menjawab beberapa soalan dan beliau turut sempat berkongsikan pengalaman bermain di bawah kendalian Nafuzi Zain musim ini.
“Dalam 5 bulan saya bersama jurulatih Nafuzi, apa yang saya nampak beliau seorang yang memiliki gaya yang tersendiri. Dia memilih untuk bermain dengan cara bola sepak moden dan hantaran pendek, bagi saya itu sesuatu yang menarik.
“Bagi jurulatih tempatan yang menerapkan corak bermain bukan untuk bertahan tetapi menyerang, ia tindakan yang menarik.
“Dia bukan lebih kepada friendly tetapi lebih kepada kekeluargaan. Keharmonian dalam pasukan nampak baik dengan adanya cara Nafuzi Zain.” ujar Syafiq Ahmad.
Syafiq Ahmad turut mengakui teruja dapat kembali bermain bersama beberapa bekas pemain seperti Rizal Ghazali bagi saingan musim ini.
Syafiq Ahmad telah merekodkan 1 jaringan dalam 3 perlawanan liga bersama Kedah bagi musim 2024/2025.
Pasukan kendalian Nafuzi Zain seterusnya akan turun menentang cabaran Bukit Tambun FC bagi aksi pusingan 16 Piala FA pada 14 Jun kelak.