Penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad mencipta sensasi apabila menjaringkan gol terpantas Liga Super musim 2024/25.
Syafiq menyertai Kedah secara pinjaman semusim daripada Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dipilih mengetuai serangan pasukan itu untuk aksi pertama liga menentang PDRM FC.
Bergandingan bersama penyerang Serbia, Milos Gordic, penyerang berusia 28 tahun itu menceriakan penyokong Kedah dengan meledakkan gol pertama perlawanan.
Syafiq menyudahkan hantaran jauh yang dibuat kapten, Sony Norde yang menewaskan penjaga gol The Cops, Bryan See.
Meskipun pemain-pemain PDRM mendakwa penyerang kebangsaan itu berada pada kedudukan ofsaid, gol tersebut disahkan oleh pengadil dan sistem bantuan video pengadil (VAR).
Menariknya, gol tersebut dilabel gol paling pantas dalam liga musim ini kerana dijaringkan seawal 34 saat.
Kedudukan ketika ini menyaksikan Kedah masih mendahului PDRM 1-0 di Stadium Selayang.