Penyerang Kedah Darul Aman, Syafiq Ahmad sedia membalas kepercayaan Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon.
Pemain berusia 28 tahun itu berada dalam senarai 26 pemain FAM yang dipanggil oleh pengendali kelahiran Korea Selatan itu bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.
Syafiq sudah diketepikan daripada tugasan kebangsaan sejak setahun yang lalu termasuklah daripada skuad ke Piala Asia namun kini mula mendapat motivasi baharu.
Perpindahan secara pinjaman ke Kedah DA telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberikan aksi terbaik setiap kali diturunkan.
Menurut Syafiq, beliau yakin Pan-gon sudah meneliti aksinya sejak pra-musim dan menagih aspek teknikal yang dimilikinya untuk membantu skuad kebangsaan.
“Mungkin daripada aksi pra-musim dan dua perlawanan awal, Kim Pan-gon nampak ada aspek teknikal dan taktikal yang beliau perlukan daripada saya untuk dipanggil semula bersama skuad kebangsaan.
Beliau juga kelihatan teruja dan mahu mencuba sebaik mungkin untuk membantu skuad kebangsaan memperagakan aksi terbaik menentang Kyrgyzstan dan Chinese Taipei.
“Apabila saya dipanggil semula, saya akan cuba untuk membantu pasukan dengan apa yang saya ada sekarang dan perlukan semaksimum mungkin,” jelas Syafiq Ahmad kepada Astro Arena.
Kali terakhir beliau dipanggil untuk membantu Harimau Malaya adalah pada bulan Mac tahun lalu ketika menentang Turkmenistan dan juga Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim.