Syafiq Ahmad Tidak Lagi Bersama DPMM
MakanBola
DPMM FC

Penyerang Harimau Malaya, Syafiq Ahmad sah tidak lagi bersama kelab Brunei DPMM dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Pengumuman ini dibuat menerusi satu hantaran di laman media sosial DPMM yang mengesahkan bahawa khidmat Syafiq Ahmad tidak disambung sebaik musim ini berakhir.

Selain Syafiq Ahmad, 4 lagi pemain juga diumumkan tidak lagi bersama wakil Brunei itu dan pihak kelab pengurusan mengucapkan terima kasih di atas sumbangan buat DPMM.

“Terima kasih Jordan Rodrigues, Ibrahim Sulley, Christian Irobiso, Syafiq Ahmad dan Fairuz Zakaria atas setiap detik, setiap perjuangan dan setiap kenangan yang anda berikan kepada kelab musim ini,” ucap DPMM.

Syafiq Ahmad menyertai DPMM pada awal musim ini untuk memperkuat jentera serangan kelab terbaik Brunei ini pada musim sulung di Liga Super selepas kembali mewarnai bola sepak Malaysia.

Sebagai rekod, penyerang kebangsaan berusia 31 tahun ini telah menjaringkan 3 gol serta membuat 1 bantuan jaringan dalam 24 penampilan buat DPMM di semua kejohanan pada musim ini.

Persoalan kini timbul tentang hala tuju bekas penyerang JDT dan Kedah DA ini dengan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melihat Imigresen sebagai pilihan terbaik buat Syafiq Ahmad.