Advertisements
Syazwan Andik Kekal Di Sri Pahang
Transfer
MakanBola
Sri Pahang FC

Sri Pahang FC merupakan salah satu pasukan yang sedang sibuk membawa masuk pemain baharu menjelang musim baharu Liga Super 2024/2025 yang dijadulakan bermula Mei depan.

Selepas menandatangani bekas pertahanan kanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Azrif Nasrulhaq, kini mereka berjaya merekrut bekas pertahanan kiri JDT, Syazwan Andik Ishak.

Syazwan dan Azrif telah dipinjamkan ke Sri Pahang untuk menghadapi saingan musim 2023 dan kini kedua-duanya hadir semula ke Sri Pahang sebagai perpindahan tetap.

Berita mengenai perpindahan tetap Syazwan Andik ke Sri Pahang telah diumumkan pihak pengurusan melalui semua platform media sosial pasukan.

“Syazwan Andik Bersama Tok Gajah! Pemain sayap, Syazwan Andik telah menandatangani kontrak selama dua musim untuk terus bersama Sri Pahang FC,” umum Sri Pahang melalui platform X.

Untuk rekod, Syazwan Andik melalui satu musim yang baik bersama Sri Pahang musim lalu. Pemain berusia 27 tahun itu telah beraksi dalam 26 perlawanan sepanjang musim lalu dengan berjaya meledak dua gol serta mencipta tiga bantuan gol.

Sudah pasti berita ini akan menggembirakan penyokong setia Sri Pahang apabila dapat menyaksikan bekas pertahanan kiri Harimau Malaya ini beraksi buat skuad Tok Gajah untuk dua musim lagi.