Selepas membantu skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Malaysia memenangi Piala Merlion pada bulan lepas, T. Saravanan percaya rakan-rakan sepasukannya mampu mempamerkan aksi terbaik di Sukan SEA 2023. Ini termasuk merealisasikan sasaran layak ke final acara bola sepak temasya berkenaan.
Saravanan membantu KL City meraih kemenangan pertama liga dengan mengalahkan Sabah 2-0. Lebih manis, gol lambungnya yang menewaskan Damien Lim menjadi pencetus kepada kemenangan berkenaan.
Justeru, penyerang muda City Boys itu berharap jika diberi peluang dalam kesebelasan utama, dia mahu beraksi dengan lebih baik. Ini bagi memastikan dirinya tersenarai dalam skuad B-22 yang bertanding dalam Sukan SEA 2023 di Kemboja.
“Memang nak buat untuk perlawanan seterusnya (menentang Perak). Kalau diberi peluang, nak tunjuk lagi untuk pasukan (KL City) dan pasukan kebangsaan untuk Sukan SEA seterusnya,” katanya bila ditemubual oleh MakanBola.
Saravanan pastinya berharap agar terus diberi peluang mengepalai bahagian serangan menjelang aksi Liga Super seterusnya menentang Perak pada 10 April. Ini kerana ini dapat membantunya menyertai skuad B-22 negara dan berharap dapat merealisasikan impian mara ke final acara Sukan SEA 2023.
Acara bola sepak Sukan SEA 2023 dijangka bermula pada 29 April ini dengan aksi final pada 16 Mei ini.