Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bangga dengan pencapaian yang dilakar pemain sayap kebangsaan, Arif Aiman Hanapi.
Pemain sayap Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) mencipta sejarah sebagai pemain pertama memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) tiga kali berturut-turut.
Selain menggondol anugerah MVP, Arif turut menggondol anugerah Penyerang Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super dan Gol Terbaik Liga Malaysia.
Bagi Tunku Mahkota Ismail, kesemua anugerah ini dilihat pengiktirafan kepada bakat sensasi yang dimiliki pemain berusia 22 tahun itu.
“Tahniah Arif Aiman. Tak payah nak melompat-lompat, kejar kamera sini sana cari publisiti murahan. Hanya perlu fokus kepada bola sepak. Tahniah,” katanya di ruang komen Instagram Johor Southern Tigers.
Arif kemudiannya menjunjung kasih atas komen baginda itu. “Junjung kasih, Tunku,” katanya ringkas.
Pemain sayap Harimau Malaya itu kini fokus untuk membantu skuad kebangsaan mendapatkan kemenangan ke atas Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.