Advertisements
“Tak Ada Jurulatih Pun Menang”
UltraSukan
UltraSukan
Victor Malaysia

Ketiadaan jurulatih di sisi bukanlah penghalang buat beregu negara, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei merangkul gelaran juara.

Izzuddin-Sze Fei hadir ke Vantaa, Finland untuk menyertai kejohanan Arctic Open 2024 setelah cemerlang merangkul dua kejuaraan di Japan Open dan China Open sebelum ini.

Beregu yang bergerak secara profesional ini dibimbing oleh Rosman Razak sehingga berjaya membawa pulang 2 gelaran juara sejak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Segalanya bermula baik buat Izzuddin-Sze Fei apabila tidak berdepan masalah menewaskan satu persatu lawan yang dihadapi dan mara ke separuh akhir berdepan jaguh China.

Pada aksi separuh akhir, tiada kelibat Rosman Razak di kerusi jurulatih malah yang berada bersama Izzuddin-Sze Fei ketika itu adalah pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing.

Manakala di aksi final pula, Izzuddin-Sze Fei tidak ditemani oleh jurulatih dan hanya melakukan perbincangan sendiri ketika interval namun itu bukanlah penghalang bagi bergelar juara.

”Tiada jurulatih pun boleh menang,” tulis akimrayyan_ di ruangan komen hantaran Malaysia Badminton Lovers.

”Tiada jurulatih, tiada masalah. Beregu perpaduan,” komen sara.mancunian pada hantaran yang sama.

”Dari (ketinggalan) 17-19 kepada 21-19. Selamat datang ke era Dinfei (Izzuddin-Sze Fei),” kata salah seorang pengguna Instagram, whoam4r.

Kemenangan di Vantaa, Finland ini sekaligus melengkapkan siri kejuaraan buat Nur Izzuddin-Goh Sze Fei dari kejohanan S100 sehingga S1000.