Selepas meraih empat kemenangan berturut-turut pada bulan Ramadhan, Selangor tewas 2-1 di tangan Sabah semalam. Dan bagi jurulatih Merah Kuning, Tan Cheng Hoe, beliau mengakui anak-anak buahnya berdepan kesukaran menentang tuan rumah yang masih belum kalah di Stadium Likas musim ini.
Skuad Badak mendahului menerusi penalti minit ke-24 yang diambil Saddil Ramdani. Biarpun menyamakan kedudukan pada minit ke-52 menerusi Faisal Halim, Selangor berputih mata apabila sepakan percuma Baddrol Bakhtiar menerjah jaring mereka 13 minit selepas itu.
“Ya, saya fikir ini satu perlawanan yang sukar untuk kita. Kita tahu Sabah bermain agresif di laman sendiri dan kita tidak bermain seperti biasa. Dan sudah tentu kita tidak kekalkan momentum yang kita ada dan kita nampak pasukan Sabah lebih dahagakan kemenangan.
“Dan mereka hampir menang ‘first ball’, ‘second ball’ dan menang perlawanan tersebut. Dan kalau kita lihat secara keseluruhan, kita bermain dengan begitu baik. Cuma satu, dua kesilapan yang dilakukan yang (mengakibatkan pasukan) dibolosi gol.
“Kita tidak boleh hilang fokus kita kerana bukan mudah apabila pasukan beraksi di Sabah, Stadium Likas merupakan kubu kuat Sabah. Saya rasa kita perlu bangkit semasa tempoh rehat Sukan SEA (2023 di Kemboja) ini untuk persediaan perlawanan seterusnya,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan semalam.
Dengan Liga Super berehat selama dua minggu bagi memberi ruang kepada Sukan SEA 2023 di Kemboja, saingan bakal bersambung pada 18 Mei ini. Dan Selangor bakal bertandang ke Stadium Perak, Ipoh untuk menentang Perak pada 20 Mei ini.