Advertisements
Tan Cheng Hoe Berdepan Cabaran Hebat Di Thailand
Asia Tenggara
MakanBola
Police Tero FC

Bekas pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe bakal berdepan cabaran besar di kelab barunya, Police Tero.

Ini kerana mengikut kedudukan Thai League 1 ketika ini, The Silver Shield Dragons berada dalam zon penyingkiran bersama Trat dan PT Prachuap.

Police Tero menduduki tangga ke-14 dengan 19 mata daripada 19 perlawanan ketika ini. Daripada 19 perlawanan, mereka merekodkan empat kemenangan, lima seri dan 10 kekalahan.

Ini termasuk kekalahan besar 6-2 di tangan juara Thai League 1 musim lepas, Buriram United baru-baru ini.

Situasi ini tidak dibantu dengan ramai pemain ialah pemain muda atau tidak memiliki pengalaman berdepan situasi terperangkap dalam zon penyingkiran.

Ini sudah pasti memberi kesan kepada mental pemain termasuk gagal mempamerkan prestasi memberangsangkan di atas padang.

Kesan ini sudah mula kelihatan dalam lapan perlawanan semua kejohanan termasuk perlawanan Thai League Cup.

Daripada lapan perlawanan The Silver Shield Dragons, empat perlawanan berakhir dengan kekalahan besar dan margin gol yang dibolosi melebihi dua gol.

Police Tero juga memiliki rekod bolos paling banyak dalam Thai League 1 setakat ini. Mereka sudah dibolosi 46 gol, jauh mengatasi Trat (39 gol), Uthai Thani (35 gol), Khon Kaen United (34 gol) dan Muangthong United (34 gol).

Jumlah ini juga jauh mengatasi rekod jaringan mereka setakat ini iaitu 26 gol. Mengikut data Transfermarkt, majoriti gol disumbang oleh penyerang Korea Selatan, Jeong Woo-geun dengan 10 gol.

Dengan mengambil kira semua faktor yang dinyatakan ini, Cheng Hoe perlu bekerja keras jika ingin membantu The Silver Shield Dragons kekal dalam liga pada musim hadapan.

Beliau memiliki 11 perlawanan untuk mengubah momentum Police Tero untuk mendaki kedudukan liga. Dan misi ini bermula dengan perlawanan menentang Nakhon Pathom yang berlangsung pada Sabtu ini.