Tan Cheng Hoe Calon Kemudi Harimau Malaya Di ASEAN Hyundai Cup
MakanBola
Malaysia NT

Pengarah teknikal skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dilaporkan menjadi calon terbaik bagi melatih Harimau Malaya di ASEAN Hyundai Cup 2026.

Skuad Harimau Malaya pada Khamis dikejutkan dengan peletakan jawatan 3 individu utama iaitu Ketua Pengarah Eksekutif (CEO), Rob Friend, ketua jurulatih, Peter Cklamovski dan ketua jurulatih B-23 dan B-20, Nafuzi Zain.

Berita terbabit mengejutkan para peminat bola sepak tempatan ketika mana pasukan negara dilihat kesuntukan waktu menjelang sepak mula kejohanan ASEAN Hyundai Cup yang bakal bermula pada penghujung Julai, sebulan dari sekarang.

Persoalan kini timbul mengenai jurulatih yang bakal membimbing pasukan Harimau Malaya pada kejohanan tersebut dengan negara-negara handalan ASEAN seperti Thailand dan Filipina bakal menjadi lawan Malaysia nanti.

Nama pengarah teknikal pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe antara yang disebut akan kembali menggalas peranan sebagai pengendali skuad negara, seperti mana dilaporkan oleh wartawan sukan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

“Tan Cheng Hoe yang bertindak sebagai pengarah teknikal National Team dilihat jadi calon terbaik untuk kendalikan pasukan Harimau Malaya untuk Piala Hyundai ASEAN bulan depan,” lapor Zulhelmi Zainal Azam di laman X.

Sebagai rekod, Tan Cheng Hoe pernah mengendali pasukan negara bermula tahun 2018 hingga 2022 dan berjaya membantu Malaysia meraih naib juara Piala AFF Suzuki pada edisi 2018 lalu.