Tan Cheng Hoe Kembali Bimbing Harimau Malaya
MakanBola
Malaysia NT

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya bagi menggantikan Peter Cklamovski.

Menurut FAM, keputusan melantik Tan Cheng Hoe dibuat berdasarkan pengalaman luas, rekod pencapaian memberangsangkan serta pemahaman mendalam beliau terhadap landskap bola sepak tempatan.

FAM turut yakin pengalaman dan kepakaran dimiliki jurulatih berusia 58 tahun itu mampu menjadi aset penting dalam usaha memperkukuhkan prestasi skuad kebangsaan di peringkat Asia dan antarabangsa.

Tan Cheng Hoe bukanlah nama asing dalam arena bola sepak negara. Beliau memulakan karier kejurulatihan bersama skuad Bawah 20 Tahun (B-20) kebangsaan sebagai penolong jurulatih dari 2005 hingga 2009 sebelum menyertai skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan bagi tempoh 2009 hingga 2010.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan dari 2009 hingga 2013 sebelum kembali memegang peranan sama pada 2017. Tan Cheng Hoe seterusnya dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya dari Disember 2017 hingga Disember 2021.

Antara pencapaian terbaik beliau bersama skuad kebangsaan adalah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjulang Piala Suzuki AFF 2010 ketika menjadi pembantu kepada Datuk K. Rajagobal. Sebagai ketua jurulatih pula, beliau berjaya membawa Harimau Malaya muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018.

Di peringkat domestik, Tan Cheng Hoe turut mencipta kejayaan bersama Kedah apabila membantu pasukan itu menjuarai Liga Premier 2015, memenangi Piala Malaysia 2016 serta Piala Sumbangsih 2017.

Selepas meninggalkan skuad kebangsaan, beliau meneruskan karier kejurulatihan bersama Selangor dari 2022 hingga 2024 sebelum berhijrah ke Thailand untuk membimbing Police Tero FC.

Pada April 2025, Tan Cheng Hoe kembali ke FAM apabila dilantik sebagai Pengarah Teknikal Pasukan Kebangsaan.

Kini, beliau sekali lagi diberikan tanggungjawab untuk mengemudi Harimau Malaya, kali ini sebagai ketua jurulatih interim dalam usaha memastikan pasukan kebangsaan terus berada pada landasan terbaik.