Pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe memuji prestasi semasa yang dipamerkan pertahanan baharu Selangor, Safuwan Baharudin.
Pemain kelahiran Singapura itu telah diberi kepercayaan, mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan ketika aksi Selangor menentang Sabah malam semalam. Selangor mencatat kemenangan tipis, 1-0 mengatasi Sabah di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Tan Cheng Hoe ketika sesi sidang media selepas perlawanan menjelaskan beliau menagih pengalaman yang dimiliki Safuwan untuk mengetuai jentera pertahanan Selangor. Beliau yakin Safuwan mampu menyesuaikan diri dan segera menserasikan diri dalam pasukan.
“Ya tentang Safuwan, kita tahu beliau memiliki kualiti dan begitu tenang mengemudi benteng pertahanan. Yang paling penting, beliau mampu serasikan diri bersama Sharul Nazeem dan pertahanan lain.”
“Disebabkan pengalaman yang beliau ada, kita tagih kudratnya. Beliau juga ketuai skuad kebangsaan Singapura jadi secara tak langsung pengalaman itu akan digunakan dalam padang. Beliau miliki keistimewaan iaitu dapat menstabilkan dan mengatur semula tempo permainan,” ujar Tan Cheng Hoe.
Selangor bakal berdepan gergasi dari Selatan, Johor Darul Ta’zim untuk aksi Liga Super seterusnya pada Sabtu, 29 Julai 2023. Perlawanan tumpuan tersebut dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, tepat jam 9 malam.