Menjelang aksi Liga Super Selangor menentang Kelantan malam ini, jurulatih Merah Kuning, Tan Cheng Hoe pastinya berharap anak-anak buahnya dapat meneruskan rentak kemenangan. Antara pemain yang diharap mampu meneruskan persembahan cemerlang ialah pemain sayap Faisal Halim.
Selepas menamatkan kemarau golnya dalam perlawanan persahabatan Malaysia-Hong Kong penghujung Mac lalu, Faisal kemudiannya menyumbat dua gol dalam perlawanan menentang KL City dan Negeri Sembilan. Justeru, Cheng Hoe mahu bekas pemain Terengganu itu menunjukkan bisanya malam ini.
“Kalau kita dapat lihat momentum Faisal Halim dalam pasukan dan menjaringkan gol berturut-turut dalam dua perlawanan tersebut. Dan kita mengharapkan Faisal Halim boleh mengubah keputusan-keputusan pasukan.
“Dan kita amat perlukan aksi beliau yang terbaik kerana Faisal Halim mempunyai kemahiran menggelecek yang terbaik dan larian yang boleh mengucar-ngacirkan pertahanan lawan. Yang penting, kita memerlukan ‘final pass’ daripada Faisal Halim kerana bila kita melihat dia di situ, ‘final pass’ dapat disempurnakan dengan baik oleh rakan sepasukan yang lain,” katanya kepada Astro Arena semalam.
Umum mengetahui lawan Gergasi Merah, Kelantan dirundung krisis termasuk pertukaran jurulatih. Tetapi bagi Cheng Hoe, itu bukan alasan untuk Selangor memandang rendah lawan mereka dan mereka perlu fokus 100% untuk mencapai kemenangan malam ini.
“Ya, kita tahu pasukan Kelantan berada dalam krisis. Tetapi dalam bola sepak, saya rasa pemain-pemain pun ada maruah tersendiri dan mereka juga mahu menjaga imej mereka dalam perlawanan.
“Itulah sebab kita tidak boleh ambil mudah mana-mana pasukan. (Jangan anggap) pasukan yang ada krisis ini lawan mudahlah. Kita harus fokus kepada pasukan kita, kita harus bekerja keras dan dapatkan keputusan yang terbaik nanti,” tambahnya.