Tano Solari Anggap Pertahanan JDT Bakal Tampil Lebih Baik Berdepan Selangor

Esteban Solari Johor Southern Tigers 3 Tano Solari Anggap Pertahanan JDT Bakal Tampil Lebih Baik Berdepan Selangor
Johor Southern Tigers
Azim Noor @mohdazim45
8:32pm 11/03/2023

Walaupun mengecapi kemenangan keempat Liga Super ke atas Kelantan hari ini, seri kemenangan 5-1 Johor Darul Ta’zim (JDT) tercalar apabila gawang mereka dibolosi menerusi penalti Leonardo Rolon untuk pasukan Kelantan. Bagi jurulatih JDT, Esteban ‘Tano’ Solari, barisan pertahanan Harimau Selatan perlu tampil lebih baik dalam perlawanan seterusnya menentang Selangor.

Gol Kelantan terhasil apabila penjaga gol kebangsaan Syihan Hazmi Mohamed menjatuhkan Ismaheel Akinade dalam kotak penalti. Penyerang Argentina, Leonardo Rolon mudah menewaskan Syihan untuk gol tunggal pelawat pada minit ke-69.

Justeru, Solari mengharapkan anak-anak buahnya agar tidak mengulangi kesilapan mudah bila berdepan Selangor pada 17 Mac ini. Ini kerana anak-anak buah Tan Cheng Hoe pasti tidak teragak-agak menghukum mereka jika itu berlaku.

“Ya, ya, sudah tentu. Lambat-laun, ia akan berlaku juga. Kita tak mahu dibolosi. Saya fikir pertahanan kita hari ini konsisten. Tetapi anda sendiri tahu, inilah bola sepak.

“Anda lakukan kesilapan, anda akan dibolosi gol (gol Rolon). Tetapi ini bagus untuk kita kerana selepas ini, kita akan lebih berwaspada dan menjadi lebih baik atas kesilapan yang dilakukan. Itulah bola sepak, kita buat silap, kita perbaiki, kita terus mara,” katanya dalam temubual pasca-perlawanan dengan Astro Arena.

Kemenangan 5-1 ini meletakkan JDT unggul di persada liga dengan 12 mata dan mempunyai kelebihan jaringan yang besar dengan Sabah yang menduduki tangga kedua liga. Sabah boleh menyamakan mata dengan JDT sekiranya menewaskan Sri Pahang esok.