Tano Solari Tak Mahu Mental Pemain JDT Terjejas Berdepan Kelantan

Esteban Solari Johor Southern Tigers 2 Tano Solari Tak Mahu Mental Pemain JDT Terjejas Berdepan Kelantan
Johor Southern Tigers
Azim Noor @mohdazim45
8:26pm 10/03/2023

Dengan tiga kemenangan dalam tangan, Johor Darul Ta’zim (JDT) nampaknya sudah menyesuaikan diri dengan corak permainan jurulatih mereka, Esteban ‘Tano’ Solari. Tetapi dengan Kelantan menjadi lawan seterusnya, Solari tidak mahu perancangan permainan mereka berakhir dengan kegagalan.

Ini kerana Kelantan pastinya bernafsu untuk melakar kemenangan kedua selepas berjaya menewaskan Penang 2-0 di Kota Bharu. Dan dengan status sebagai pasukan bukan pilihan, anak-anak buah Choi Moon-sik ingin mencipta kejutan menewaskan JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

“Setiap perlawanan yang kami hadapi, pasukan lawan akan cuba bermati-matian untuk tewaskan kami, jadi kami harus berwaspada dengan taktik permainan mereka dan mempamerkan aksi berintensiti tinggi dan mengekalkan konsistensi permainan.

“Apapun, pemain harus bersikap sabar untuk berusaha memburu gol kerana jika kita beraksi dengan tekanan, ia menyukarkan usaha mencipta gol malah mental pemain juga akan terjejas,” katanya bila dihubungi Berita Harian.

Begitupun, JDT turun tanpa kelibat penyerang berbisa, Bergson da Silva. Tetapi Harimau Selatan tampak tidak terjejas kerana mempunyai pengganti seperti Endrick Dos Santos dan Diogo Luis Santo.

Yang pasti, mana-mana pemain yang diturunkan dalam perlawanan JDT-Kelantan esok bakal menjanjikan tentangan hebat buat anak-anak buah Moon-sik. Seterusnya, mendapatkan kemenangan keempat Liga Super di gelanggang keramat mereka, SSI.