Advertisement
Tano Solari Tinggalkan Everton
Eropah
MakanBola
Everton de Vina del Mar

Bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Tano Solari sah tidak lagi bersama kelab Chile, Everton de Vina del Mar.

Ini selepas pengurusan Los del Cerro mengumumkan jurulatih berusia 44 tahun itu memilih meninggalkan pasukan. Selain Solari, tiga lagi staf kejurulatihan beliau iaitu Emerson Panigutti, Rodrigo Barrios dan Matias Navarro turut memilih meninggalkan kelab itu.

“Kami memaklumkan kepada Komuniti Oro & Cielo dan pihak media bahawa pasukan teknikal diketuai jurulatih, Esteban Andres Solari telah menamatkan hubungan dengan institusi kita.

“Kami berterima kasih kepada Esteban Solari, Emerson Panigutti, Rodrigo Barrios dan Matias Navarro kerana menerima cabaran menguruskan kelab Chilean Primera Division.

“Profesionalisme dan komitmen mereka kepada kelab telah membantu kita layak ke Copa Sudamericana musim baru. Kami mengucapkan selamat berjaya kepada anda untuk menghadapi cabaran seterusnya,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Sepanjang bersama kelab itu, Solari membantu Everton meraih 12 kemenangan, lapan seri dan lapan kekalahan. Bekas pengendali skuad remaja Argentina itu turut membantu Los del Cerro layak ke Copa Sudamericana musim 2025.

Buat masa ini, Solari tidak menyatakan destinasi baru pilihannya selepas ini. Walau bagaimanapun, TyC Sports mengaitkan bekas pengendali Harimau Selatan itu dengan kelab Primera Division, Club Atletico Belgrano.

Belgrano kini dalam proses mencari jurulatih baru selepas memecat pengendali sebelumnya, Juan Cruz Real. Keputusan ini diambil susulan prestasi buruk yang dialami kelab Argentina itu.

Walau bagaimanapun, Solari bukan satu-satunya calon yang dilaporkan dalam radar Belgrano. Ini kerana pasukan itu turut memantau nama bekas tonggak import JDT, Pablo Aimar dan pengendali Lanus, Ricardo Zielinski sebagai calon alternatif.

Nama Solari menjadi sebutan penyokong JDT pada 2023 apabila membantu kelab itu meraih empat trofi. Ini termasuk kejayaan bergelar juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut dan merekodkan 100 gol dalam liga.