Bekas ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe hari ini tampil mendedahkan situasi sebenar skuad negara ketika di bilik persalinan pada saingan Piala AFF tempoh hari. Perkara itu dikongsikan Cheng Hoe dalam satu rancangan khas di Astro Arena.
Jurulatih yang berusia 53 tahun itu mengakui bahawa situasi skuad negara di bilik persalinan berjalan dengan lancar dan tiada sebarang provokasi. Para pemain dan pegawai juga sentiasa memberi sokongan antara satu sama yang lain.
“Dalam situasi line-up dan dalam bilik persalinan cukup baik. Kerana para pemain memberi sokongan yang terbaik untuk skuad kebangsaan. Pegawai-pegawai yang bersama dengan saya juga tidak menimbulkan apa-apa masalah.”
Mengulas lanjut, Cheng Hoe berpendirian bahawa keharmonian dalam kem kebangsaan amat penting kerana ia boleh melibatkan prestasi pemain ketika di dalam padang. TCH menjelaskan bahawa dirinya dan pegawai-pegawai lain sentiasa memberi nilai positif dan sokongan tambahan pada semua pemain.
“Yang penting adalah environment dalam kem. Itu cukup penting kerana situasi tersebut boleh reflect kepada pemain-pemain dalam padang. Kerana itulah setiap kali saya memberi nasihat atau staff teknikal yang bersama dengan saya dalam situasi apa jua kita perlu fikir positif.”
Tan Cheng Hoe beranggapan, dalam apa jua rintangan sekalipun, skuad negara kalah atau menang dalam sesebuah pertandingan itu, sebagai satu keluarga kita perlu hadapi bersama.
“Kita sebagai satu pasukan apa jua situasi kita menang bersama dan kalah bersama,” jelas Cheng Hoe.