Bekas pemain beregu kebangsaan, Koo Kien Kiat berharap barisan pemain pelapis negara tampil lebih cemerlang di pentas antarabangsa selepas ini.
Pandangan itu dibuat beliau apabila diminta mengulas prestasi kurang memberangsangkan barisan pelapis negara dalam beberapa kejohanan terutama BWF International Series kebelakangan ini.
Kien Kiat berpandangan apabila mereka diberi peluang beraksi di luar negara, barisan pelapis terutama beregu lelaki perlu memanfaatkannya sebaik mungkin.
Ini kerana pengalaman tersebut amat berguna untuk menjadikan mereka lebih baik pada masa hadapan.
“Jadikan setiap kejohanan antarabangsa sebagai peluang keemasan. Dan sekarang, ada banyak kejohanan sampaikan (BWF) International Series, mereka hantar sampai ke Eropah,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
“Kalau kira kos seperti penerbangan dan penginapan, macam tak berbaloi untuk dapatkan mata ranking.
“Tapi mereka tak tahu atau tak menghargai. Kalau BAM beri peluang kepada pemain-pemain junior, mereka harus terbang setinggi yang boleh.”
Sejak itu, barisan pemain pelapis negara dilihat mula bangkit. Saingan Sri Lanka International Series menyaksikan dua beregu lelaki negara mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.