Beregu lelaki utama Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik terpaksa berhempas pulas sebelum mara ke separuh akhir Terbuka Denmark 2023.
Mereka menewaskan regu lelaki China, He Jiting dan Ren Xiangyu dalam aksi suku akhir awal pagi tadi.
Dari segi rekod pertemuan, kelebihan memihak kepada Aaron-Wooi Yik kerana menang satu-satunya perlawanan mereka sebelum ini.
Begitupun, dengan status China sebagai kuasa badminton dunia, pertemuan dengan mana-mana regu China dianggap sukar.
Dan seperti dijangka, Jiting-Xiangyu memberi tentangan sengit kepada Aaron-Wooi Yik dalam set pertama sehingga mengheret perlawanan ke deuce.
Bagaimanapun, bekas juara dunia 2022 itu membuktikan kehandalan mereka dengan memenangi set pertama 24-22.
Jiting dan Xiangyu bangkit pada set kedua dan menang dengan keputusan 21-18. Ini memaksa perlawanan diheret ke rubber set.
Keletihan yang dialami regu China itu membuka ruang kepada Aaron-Wooi Yik untuk meraih kelebihan selesa pada set ketiga. Dan itu sudah cukup buat mereka memenangi set ketiga dengan 21-12.
Regu utama negara itu kini berdepan cabaran regu tuan rumah, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen di pentas separuh akhir.
Astrup-Rasmussen mara selepas mengalahkan satu lagi wakil Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di pentas suku akhir.
Aaron-Wooi Yik mengiringi kemaraan perseorangan utama negara, Lee Zii Jia yang mara ke separuh akhir untuk acara perseorangan lelaki.