Terbuka Denmark: Lee Zii Jia Ke Final, Atasi Tentangan Lee Cheuk Yiu
UltraSukan
Craig Ansibin

Lee Zii Jia mara ke final kejohanan jelajah BWF buat kali kedua berturut-turut selepas mara ke final Terbuka Denmark awal pagi tadi.

Pemain perseorangan lelaki utama Malaysia itu mengatasi tentangan pemain perseorangan dari Hong Kong, Lee Cheuk Yiu.

Dari segi rekod pertemuan, kelebihan tampak memihak kepada Cheuk Yiu. Malah, beliau turut mendapat bimbingan bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Wong Choong Han.

Fakta tersebut langsung tidak menggentarkan Zii Jia di mana beliau mendominasi set pertama.

Kelicikan anak jati Alor Setar, Kedah itu mempelbagaikan corak permainannya mengakibatkan Cheuk Yiu berdepan kesukaran untuk mengejar.

Ini membolehkan Zii Jia meraih kemenangan set pertama dengan keputusan 21-15.

Cheuk Yiu cuba memberi tentangan kepada pemain nombor 11 dunia itu pada set kedua. Bagaimanapun, corak permainannya yang mudah diramal memberi kelebihan kepada Zii Jia.

Pada akhirnya, juara Terbuka Artik 2023 itu menamatkan perjuangan pemain Hong Kong itu dengan keputusan 21-17.

Aksi final bakal menemukan Zii Jia dengan pemain China, Weng Hongyang. Dengan rekod pertemuan 1-2, kelebihan dilihat dimiliki pemain perseorangan China itu.

Namun begitu, sekiranya Zii Jia berjaya untuk kekal konsisten untuk aksi malam ini, tidak mustahil gelaran juara Terbuka Denmark 2023 mampu dicapai malam ini.