Perseorangan lelaki kedua Malaysia, Ng Tze Yong gagal layak ke final kejohanan terbuka BWF buat kali kedua tahun ini selepas terkandas di separuh akhir Terbuka Perancis 2023.
Tze Yong tumpas kepada pemain antarabangsa China, Li Shifeng yang juga pemain pilihan kelapan kejohanan.
Dari segi ranking, Shifeng dianggap pilihan bukan saja kerana berstatus pemain nombor lima dunia.
Bahkan, pemain berusia 23 tahun itu sudah menggondol dua kejuaraan terbuka BWF tahun ini iaitu Terbuka Seluruh England dan Terbuka Amerika Syarikat.
Set pertama menyaksikan Tze Yong yang juga finalis Terbuka Artik 2023 cuba memberi tentangan kepada Shifeng.
Bagaimanapun, pengalaman dua kali beraksi di final membantu Shifeng mengatasi tekanan anak jati Johor Bahru itu sebelum menang dengan keputusan 21-17.
Pemain China itu tampak lebih yakin pada set kedua. Biarpun cuba diberi tentangan oleh Tze Yong, Shifeng muncul pemenang dengan memenangi set kedua menerusi keputusan 21-12.
Pemain pilihan kelapan kejohanan itu bakal bersemuka dengan jaguh Indonesia yang juga pemain pilihan kelima Terbuka Perancis, Jonathan Christie di pentas final hari ini.
Christie layak ke final selepas mengenepikan juara dunia perseorangan lelaki 2021 dari Singapura, Loh Kean Yew dengan keputusan 21-18, 21-13.