Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner bakal memanfaatkan barisan pemain Terengganu FC II untuk perlawanan menentang Penang FC malam ini.
Keputusan ini dibuat bukan saja dengan mengambil kira masalah kecederaan yang membelenggu skuad Penyu sejak kebelakangan ini.
Malah, Steinbruckner juga memikirkan kesan tempoh perjalanan 30 jam dari Sydney ke Georgetown ke atas anak-anak buahnya.
Ini susulan perlawanan Piala AFC antara Terengganu dengan wakil Australia, Central Coast Mariners yang diadakan pada Rabu lalu.
Justeru, nama-nama seperti Muslihuddin Atiq Mat Zaid dan Faris Rifqi Abdul Rashid bakal diberi peluang oleh Steinbruckner untuk perlawanan malam ini.
“Anda tahu bila kami tiba di Kuala Lumpur, kami menghantar pulang pemain-pemain import berpengalaman seperti Ivan (Mamut), Habib Haroon dan Sony Norde ke Terengganu.
“Ini kerana saya mahu mereka bersedia untuk aksi final (Piala Malaysia). Dan saya akan disertai oleh beberapa pemain muda.
“Sudah tentu beberapa pemain dari TFC II (Terengganu FC II) seperti (Muslihuddin) Atiq dan Faris (Rifqi) akan memulakan permainan. Ada juga yang bakal bermula dari bangku simpanan seperti Zuasyraf (Zulkiefle) atau Hakim (Norhakim Hassan).
“Omid Nazari merupakan pemain import dan beliau beraksi bagus dalam beberapa perlawanan Liga Super. Tetapi disebabkan kuota import, beliau berhak bermain lebih kerap. Tetapi esok (hari ini), beliau akan menyertai kesebelasan utama.
“Begitu juga dengan Adisak Kraisorn. Kita masih memiliki satu pasukan yang bagus untuk perlawanan esok (hari ini). Bagaimanapun, saya beri rehat kepada pemain import berpengalaman.
“Pemain-pemain lain berhak beraksi dan saya percaya mereka akan beraksi dengan bagus. Saya tahu Penang baru saja menang ke atas Sri Pahang tetapi kita memiliki pasukan muda yang bagus.
“Mereka (Penang) bekerja keras tetapi kita juga akan bekerja keras. Mereka ada kualiti, kita juga ada kualiti. Kita akan lihat esok bagaimana perlawanan itu berlaku,” katanya dalam temubual bersama Nadi Arena.
Skuad Peteh berharap dapat meraih kemenangan ke atas skuad Harimau Kumbang di Stadium Bandaraya malam ini.