Terengganu kini berehat selama 10 hari sebelum menempuh aksi Shopee Cup dengan wakil Vietnam, Thanh Hoa pada 25 September ini.
Peteh berharap dapat menggunakan aksi berkenaan untuk bangkit mengecapi kemenangan. Ini kerana dalam lima aksi terakhir mereka dalam semua kejohanan, pasukan itu hanya meraih satu kemenangan.
Kemenangan itu dicapai dalam aksi Liga Super dengan KL City FC pada 10 Ogos lalu. Gol Terengganu disumbangkan oleh Manuel Ott dan Safawi Rasid.
Perlawanan ini juga dilihat peluang buat Peteh meraih kemenangan pertama dalam Kumpulan A Shopee Cup.
Ini kerana Terengganu tewas mengejut 3-2 di tangan kelab Kemboja, Svay Rieng di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 21 Ogos lalu.
Kali terakhir anak buah Tomislav Steinbruckner beraksi ialah aksi menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 15 September lalu. Perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.
Terengganu meraih satu mata menerusi jaringan penyamaan Ismahil Akinade selepas ketinggalan menerusi gol awal Joao Pedro.
Peteh dilihat bernasib baik kerana tidak mengalami masalah kecederaan menjelang kempen Shopee Cup dengan Thanh Hoa.
Ini sekaligus memberi ruang kepada Steinbruckner membentuk kesebelasan terbaik untuk menghadapi ancaman anak buah Velizar Popov itu.
Selepas Thanh Hoa, Peteh bakal memiliki tempoh rehat yang singkat. Ini kerana mereka bakal berdepan cabaran Selangor dalam saingan liga pada 28 September ini.
Meskipun memiliki tempoh rehat yang singkat, sokongan padu penyokong dijangka ditagih Terengganu di SSMZA untuk menewaskan Merah Kuning.
Aksi itu dijangka panas selepas anak buah Nidzam Jamil menyingkirkan Peteh di peringkat separuh akhir Piala FA 2024 dengan keputusan 6-4.