Advertisement
Terengganu Sambut Baik Inisiatif KBS, Mohon Geran Tukar Rumput Bersebab
Liga Super
MakanBola
Terengganu FC

Pasukan Liga Super, Terengganu FC berkongsi sebab terperinci berkenaan permohonan bagi geran kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkenaan penukaran rumput dan naik taraf sistem saliran di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Menerusi satu kenyataan tempoh hari, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ada memberitahu bahawa setiap negeri boleh memohon geran berjumlah RM500 ribu bertujuan untuk membaiki sistem saliran padang dan penukaran rumput.

Tindakan Terengganu yang turut memohon geran tersebut mengejutkan Hannah tatkala keadaan padang SSMZA antara yang terbaik di Malaysia.

Menerusi satu penjelasan terperinci oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, beliau memberitahu bahawa terdapat beberapa perlara yang menyebabkan pihaknya turur memohon geran tersebut.

“Sebenarnya tiada apa yang perlu terkejut. Sewaktu Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024/2025 di Sunway Big Box Hotel, Iskandar Puteri pada 9 Januari 2024 yang lalu, saya turut mengambil peluang bertanyakan soalan dalam sidang mesyuarat ini.”

“Antara yang saya timbulkan adalah padang untuk Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tidak perlu untuk ditukar dengan rumput Zeon Zoysia. Rumput Princess Bermuda 77 yang ada sekarang ini sudah cukup memadai untuk dikekalkan dan ia juga sumbangan daripada pihak Malaysian Football League (MFL) dan Tunku Mahkota Johor.”

“Walaupun begitu, jika geran KBS ini boleh dimanfaatkan untuk kami upgrade padang ini, ia satu peluang yang cukup baik untuk objektif yang sama. Saya dimaklumkan dalam mesyuarat itu untuk cuba dahulu memohon atas semangat objektif yang sama.”

Pihak Terengganu cuba mengatasi beberapa kelemahan yang wujud di padang SSMZA dengan melihat tawaran geran oleh KBS ini sebagai satu inisiatif terbaik.

“Walaupun padang ini antara yang terbaik, ia masih lagi berdepan dengan beberapa kelemahan yang perlu diatasi secara konsisten. Tawaran geran KBS ini kami sambut kerana objektif utama adalah untuk melihat perjalanan Liga Malaysia lebih berkualiti dan lebih kompetatif. Pihak MFL juga bersetuju, antara penyumbang dalam membangunkan bola sepak negara adalah faktor padang bola sepak.”

“Untuk kami pula, walaupun disebut antara yang terbaik, kami akui ia masih ada kelemahan dan padang ini perlu ditingkatkan lagi kualiti dan proses penjagaannya untuk kekal bertahan dalam tempoh yang lama dan sentiasa yang terbaik,” ujarnya secara terperinci.