Kementerian Belia dan Sukan (KBS) labur lebih RM7 juta untuk mempertingkatkan mutu bola sepak Malaysia.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada semalam telah mengumumkan bahawa KBS akan memberi geran kepada setiap negeri untuk kos naik taraf stadium yang akan digunakan bagi saingan Liga Malaysia 2024/25.
Pelaburan yang dibuat KBS ini bertujuan untuk menaik taraf dua infrastruktur di stadium iaitu sistem saliran dan juga kos penanaman rumput baharu.
“Sebagai satu keutamaan semua negeri perlu menaik taraf stadium sedia ada supaya apabila hujan mereka boleh kekal bermain.”
“Oleh itu kita telah tawarkan geran kepada semua negeri 13 negeri termasuk Wilayah Persekutuan, RM500 ribu ringgit geran daripada Kementerian Belia dan Sukan mempunyai dua aspek, iaitu RM300 ribu untuk kos naik taraf saliran, RM200 ribu untuk geran penanaman rumput.”
“Kita akan bayar kepada negeri dengan syarat mereka perlu buat dan letak komitmen untuk siapkan sebelum bulan Mei ini sebelum liga bermula.”
Hannah Yeoh dalam pada itu turut mengharapkan semua negeri menerima tawaran ini supaya kualiti setiap stadium yang akan digunakan bagi Liga Malaysia berada pada tahap yang baik.
“Hasrat saya adalah semua bekerjasama kerana kita di peringkat KBS dah letak RM7 juta untuk setiap negeri ini RM500 ribu. Saya nak mereka bekerjasama dan itu sebab hari ini semua exco negeri dijemput untuk bincang,” ujar Hannah Yeoh ketika sidang media selepas Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia & Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024/25.
Inisiatif yang ditawarkan KBS kepada setiap negeri ini seharusnya disahut dengan baik untuk meningkatkan mutu permainan bola sepak tempatan.