Baihakki Khaizan Umumkan Persaraan
MakanBola
FA Singapore

Pemain kebangsaan Singapura, Baihakki Bin Khaizan hari ini telah mengumumkan persaraannya daripada pentas bola sepak. Selepas hampir 18 tahun berkecimpung dalam dunia bola sepak, lagenda Singapura ini berjaya menamatkan kariernya dengan pencapaian terbaik.

Sinonim dengan panggilan ‘Bai’ pemain yang berusia 38 tahun ini telah banyak berjasa kepada bola sepak terutamanya di peringkat Asia Tenggara. Mencatat 140 kaps bersama skuad kebangsaan Singapura, pertahanan kental ini berjaya menyumbang 5 gol keseluruhannya ketika bersama skuad The Lions.

Memilih tarikh hari lahirnya, 31 Januari sebagai tarikh persaraan, nama Baihakki pastinya akan terus dihargai dan menitip di bibir seluruh generasi bola sepak Asia Tenggara. Pemain yang memiliki ketinggian 1.9m ini dianggap sebagai lagenda yang paling dihormati seluruh peminat Asian.

Baihakki Khaizan adalah pemain Singapura pertama yang berjaya menjaringkan gol di Liga Thailand dan beraksi di empat buah negara iaitu Singapura, Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Bekas kapten pasukan Singapura ini berjaya menarik minat banyak kelab terkemuka antaranya Persija Jakarta, Persib bandung, Medan Chief (Indonesia), Johor Darul Ta’zim (Malaysia), Warriors (Singapura), Muangthong United, Udon Thani, Trat, PT Prachuap (Thailand), dan yang terakhir di Tampines Rovers (Singapura).

Antara pencapaian terbaik Bai adalah berjaya menjulang Singapura menjuarai Piala AFF sebanyak tiga kali iaitu pada 2004, 2007 dan 2012. Semangat cinta akan negara yang tidak pernah luntur dipamerkan Baihakki pastinya terus menjadi pemangkin semangat kepada pelapis-pelapis muda di Singapura.

Selamat hari lahir. Terima kasih dan selamat maju jaya Baihakki Khaizan.