“Terima Kasih TMJ” – Ong Kim Swee
Dunia
JST
Advertisements

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee akur dengan kekalahan yang menimpa pasukan kendaliannya dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam.

Namun begitu, walaupun tewas kepada JDT, Kim Swee tetap berbangga dengan semangat juang yang dipamerkan anak buahnya. Hadir ke Johor dengan membawa 16 pemain sahaja, mereka berjaya menyaingi pasukan JDT yang menurunkan kesebelasan terbaik.

“Ya kita tahu ianya bukan mudah beraksi di Johor terutamanya. Selepas tewas 0-1 di Sabah pada separuh akhir pertama, sudah tentu ianya memberikan kesukaran.

Advertisements

“Pada separuh masa kedua, kita menunjukkan permainan yang lebih baik. Kita banyak melakukan hantaran ke depan dan akhirnya kita berjaya menjaringkan gol. Namun apabila kita menentang pasukan yang baik, kita hilang fokus dan menyebabkan kita dibolosi lagi,” jelas Kim Swee.

Kim Swee akui Sabah dilanda krisis kecederaan pemain sehingga memaksa beliau membawa hanya 16 pemain ke Johor bagi aksi semalam. Dan itu juga menjadi sebab mengapa mereka gagal memberikan saingan yang lebih baik.

Ketika ditanya mengenai status dua pemain pinjaman dari JDT iaitu Stuart Wilkins dan Irfan Fazail, Kim Swee berkata bahawa beliau mahu mengekalkan kedua-dua pemain tersebut di Sabah musim hadapan namun tertakluk kepada perbincangan dengan pengurusan.

Advertisements

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tengku Mahkota Johor (TMJ) kerana membenarkan dua pemain ini beraksi dengan pasukan Sabah. Walaupun tak dapat digunakan ketika menentang JDT, saya percaya mereka mendapat minit permainan yang cukup baik terutamanya Stuart.

“Saya harap pemain ini dapat bersama Sabah. Ini terpulang kepada perbincangan kita bersama JDT untuk membawa kedua-dua pemain ini. Kedua-dua pemain ini berada dalam senarai untuk dikekalkan pada musim yang akan datang,” jelas Kim Swee lagi dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram