Terjahan pemain Manchester United, Diogo Dalot mencetuskan kontroversi dalam kalangan peminat Liga Perdana Inggeris (EPL).
Ini kerana bek kanan Portugal itu hanya dilayangkan kad kuning akibat terjahan merbahaya ke atas pemain sayap Manchester City, Jeremy Doku pada minit awal babak pertama.
Terjahan Dalot dianggap merbahaya kerana terlalu tinggi dan mengenai lutut pemain sayap Belgium itu.
Meskipun terjahan itu dianggap merbahaya, pengadil, Anthony Taylor memilih kad kuning dan bukan kad merah terhadap beliau.
Bekas pemain pertahanan United, Phil Jones menganggap Dalot bernasib baik kerana tidak dibuang padang dalam perlawanan itu.
“Saya tak faham mengapa itu bukan kad merah. Saya tak faham apa yang mereka lihat,” katanya seperti dilaporkan BBC 5 Live Sport.
“Ianya tinggi, ianya merbahaya dan kaki lurus. Apa yang mereka lihat?”
Terjahan tersebut turut mencetuskan kemarahan peminat di media sosial terutama penyokong Manchester United.
Keputusan semasa menyaksikan United mendahului 2-0 hasil jaringan bekas bintang Brentford, Bryan Mbeumo dan Patrick Dorgu.