Penyerang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo hampir menyebabkan insiden ngeri berlaku apabila beliau melakukan terjahan keras ke atas Martin Dubravka dalam aksi Portugal bertemu Slovakia.
Ronaldo yang terlepas bola untuk melakukan rembatan dalam kotak penalti cuba untuk merampas bola tersebut namun terjahan itu tepat mengena dada dan muka Martin Dubravka yang meluru ke arah bola.
Namun pengadil hanya melayangkan kad kuning kepada Ronaldo atas kekasaran tersebut setelah memeriksa VAR ekoran situasi Ronaldo yang tidak berniat untuk mencederakan Dubravka sebaliknya ingin menyambut bola.
Terjahan tersebut menyaksikan kaki kanan Ronaldo tepat mengenai dada Dubravka manakala kaki kiri pula mengenai muka penjaga gol Slovakia itu menurut The Mirror.
Insiden tersebut menimbulkan amarah penyokong yang merasakan terjahan keras tersebut perlu dilayangkan kad merah.
Ini kerana kekasaran pada bahagian muka boleh menyebabkan kecederaan yang serius.
Namun Martin Dubravka bernasib baik apabila tidak mengalami kecederaan yang teruk.
Cristiano Ronaldo bagaimanapun akan terlepas aksi kelayakan Euro 2024 yang seterusnya menentang Luxembourg setelah mengutip 3 kad kuning.
Portugal berjaya meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Slovakia hasil jaringan Bruno Fernandes pada minit ke-43 perlawanan.