Empat kelab Sepanyol dilaporkan berminat mendapatkan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Teto Martin.
Wartawan sukan Sepanyol, Angel Garcia melaporkan salah satu kelab yang berminat mendapatkan anak jati Santa Cruz de Tenerife itu ialah Cultural y Deportiva Leonesa (Cultural Leonesa).
Cultural Leonesa melihat Martin mampu memberi pilihan tambahan kepada jurulatih kelab itu, Jandro Castro di bahagian sayap kiri. Kelab hanya memiliki seorang pemain sayap kiri iaitu Dani Queipo yang tiba dari Sporting Gijon.
Meskipun begitu, kelab yang beraksi dalam divisyen tiga Sepanyol itu harus bertindak pantas. Selain Cultural Leonesa, Garcia melaporkan CD Mirandes, Extremadura dan Alcorcon juga berminat mendapatkan Martin.
Pemain sayap berusia 22 tahun itu dilaporkan mahu meninggalkan JDT selepas hanya semusim menyertai pasukan itu dari Tenerife.
Beliau merekodkan 29 penampilan, 13 gol dan tiga bantuan gol dalam semua kejohanan untuk Harimau Selatan.
Selain membantu JDT bergelar juara Liga Super dan Piala Malaysia, Martin juga sebahagian daripada pasukan yang layak ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim lalu.
Seandainya khabar angin ini menjadi kenyataan, beliau akan menjadi pemain terbaru meninggalkan JDT. Martin berpotensi mengikut jejak Fergus Tierney, Moussa Sidibe, Park Jun-heong, Daniel Ting, Samu Castillejo, Raul Parra dan Heberty Fernandes.