Advertising
Thai League 1: Dion Cools Pimpin Buriram Elak Dimalukan Chonburi
MakanBola
Buriram United

Orang besi Harimau Malaya, Dion Cools memastikan Buriram United kekal tanpa kalah dalam sembilan perlawanan Thai League 1 hari ini.

Ini selepas juara liga musim 2022-2023 itu diikat Chonburi 1-1 di Stadium Chonburi dalam aksi terbaru liga.

Ad

Buriram mahu meraih kemenangan hari ini bagi melebarkan jurang mata dengan pasukan di tempat kedua, Bangkok United.

Ad

Manakala Chonburi pula memburu kemenangan bagi menjarakkan mata dengan pasukan di tangga ke-14 liga, Police Tero.

Chonburi selaku tuan rumah bermula dengan langkah kiri apabila terpaksa mengeluarkan pemain import Korea Selatan, Lee Chan-dong pada minit kesembilan akibat kecederaan.

Ad

Ini mengubah momentum menyebelahi pelawat yang dibimbing jurulatih Australia, Arthur Papas. Bagaimanapun, Thunder Castle perlu menunggu sehingga minit ke-25 untuk menyumbat gol pertama menerusi Thanakrit Chotmuangpak.

Ad

Buriram terus memberi tekanan kepada tuan rumah bagi mendapatkan gol tambahan. Bagaimanapun, keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Ad

Bersambung selepas rehat, The Sharks mula meningkatkan asakan bagi mendapatkan gol penyamaan.

Malangnya, jentera serangan tuan rumah diketuai bekas penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Willian Lira kerap digagalkan oleh barisan pertahanan pelawat diketuai Cools.

Keadaan ini mendorong pengendali Chonburi, Witthaya Laohakul membuat beberapa pertukaran termasuk memasukkan penyerang muda Thailand, Yotsakorn Burapha.

Pertukaran yang direncana Witthaya membuahkan hasil apabila pemain sayap Ivory Coast, Amadou Ouattara menyamakan kedudukan pada minit ke-88. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Buriram kekal sebagai pendahulu dengan 46 mata. Manakala Chonburi melonjak ke tangga ke-11 dengan 22 mata.

Thunder Castle selepas ini bakal menentang Chiangrai United pada 31 Mac. Manakala The Sharks pula bakal menentang Bangkok United pada hari yang sama.

Cools berharap momentum sembilan perlawanan tanpa kalah bersama Buriram dapat dimanfaatkan untuk membantu Harimau Malaya menentang Oman pada 21 dan 26 Mac ini.