Skuad Bawah 19 tahun Malaysia bakal diuji dengan lawan yang lebih hebat dalam saingan Kejohanan Asean AFF B-19 apabila bakal bertemu Thailand, Khamis ini (25 Julai).
Skuad kendalian Juan Torres Garrido itu menunjukkan kualiti permainan terbaik dalam dua aksi awal Kumpulan C apabila menewaskan Brunei dan Singapura dengan jaringan yang besar.
Lebih meyakinkan, skuad muda Malaysia tidak melepaskan sebarang gol. Namun Malaysia perlu berwaspada dengan tentangan yang dijangka sengit daripada barisan pemain Thailand yang turut merekodkan dua kemenangan sebelum ini.
Pada aksi bertemu Singapura semalam, skuad Malaysia berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 5-0. Kemenangan tersebut turut dihiasi penyelamatan penalti oleh penjaga gol Malaysia, Haziq Aiman bagi memastikan Malaysia kekal kebal tanpa bolos.
Manakala pada aksi pertama, Malaysia membelasah Brunei dengan jaringan 11-0. Secara statistik, Malaysia sudah meledak 16 jaringan dalam dua perlawanan dengan tanpa dibolosi sebarang jaringan dari pihak lawan.
Untuk rekod, Malaysia adalah juara bertahan Piala AFF B-19 selepas memenanginya pada edisi 2022 selepas menewaskan Laos dengan keputusan 2-0 di pentas akhir.