Thailand Jadi Lawan Ketiga Malaysia Di ASEAN Hyundai Cup
MakanBola
FA Malaysia

Pasukan nombor satu ASEAN, Thailand bakal menanti Malaysia sebagai lawan ketiga dalam Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup.

Ini berdasarkan jadual perlawanan kumpulan kejohanan itu yang diumumkan pengurusan Harimau Malaya pada Jumaat.

Aksi pada 1 Ogos ini cukup dinantikan ramai kerana ia bukan saja aksi berprofil tinggi buat kedua-dua pasukan dalam Kumpulan B.

Malah, ini juga peluang buat anak buah Peter Cklamovski membalas dendam terhadap lawan sama yang mengecewakan mereka dalam edisi 2024.

Saingan edisi 2024 menyaksikan Malaysia terkandas di peringkat kumpulan selepas hanya meraih satu kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan. Kekalahan itu direkodkan di tangan Thailand pada 14 Disember 2024.

Aksi yang berlangsung di Stadium Rajamangala itu menyaksikan Patrik Gustavsson meraih gol kemenangan buat tuan rumah.

Ironinya, aksi ketiga Kumpulan B juga akan berlangsung di bumi Thailand. Justeru, ini peluang buat skuad negara untuk tampil lebih cemerlang dalam edisi kali ini.

Selain Thailand, Malaysia juga akan berdepan Filipina, Myanmar dan Laos dalam Kumpulan B. Harimau Malaya akan membuka kempen kumpulan dengan menentang Myanmar pada 25 Julai ini.