Aksi terakhir antara Malaysia vs Thailand akan jadi penentu slot ke separuh akhir Kejuaraan B-19 ASEAN 2026.
Malaysia B-19 kendalian Nafuzi Zain mencatatkan permulaan yang cukup cemerlang apabila meraih kemenangan bersih dalam dua perlawanan awal ke atas Singapura 3-0 pada Selasa lalu dan Brunei Darussalam 4-0 semalam.
Langkah positif itu meletakkan skuad muda negara berada di kedudukan kedua kumpulan B ketika ini, berkongsi enam mata maksimum bersama pencabar terdekat, Thailand yang turut membuka saingan dengan cukup garang.
Kemenangan besar dicatatkan oleh skuad muda Thailand tersebut apabila membelasah Brunei Darussalam 9-0 semasa perlawanan pertama sebelum menumpaskan Singapura dengan keputusan 4-0 bagi memimpin kumpulan B.
Hal ini menyaksikan perlawanan terakhir kumpulan antara Thailand vs Malaysia pada Isnin ini akan menjadi perlawanan penentuan bagi status juara kumpulan B dan melayakkan diri ke peringkat separuh akhir secara automatik.
Skuad muda negara wajib menewaskan Thailand bagi merampas posisi nombor satu kumpulan manakala pasukan Gajah Perang ini pula hanya memerlukan keputusan seri untuk bergelar juara kumpulan dan layak ke separuh akhir.
Jika menamatkan saingan di tangga kedua, mereka masih berpeluang layak ke separuh akhir sebagai naib juara terbaik dengan syarat memiliki kutipan mata dan perbezaan gol yang lebih baik berbanding pasukan di kumpulan lain.
Aksi antara Thailand vs Malaysia akan berlangsung pada Isnin, 8 Jun ini di Stadium Madya 1, Medan, Indonesia dengan sepak mula tepat jam 9 malam waktu Malaysia.