Advertisements
FA Cup: Gol Dramatik Pacu Chelsea Ke Suku Akhir, Kalahkan Leeds United
Eropah
MakanBola
Chelsea FC

Finalis Piala EFL musim 2023-2024, Chelsea memerlukan gol dramatik kapten Conor Gallagher untuk mara ke suku akhir The FA Cup.

The Blues berjaya mara ke suku akhir selepas mengatasi cabaran kelab Liga Kejohanan, Leeds United dalam aksi pusingan kelima di Stamford Bridge.

Chelsea perlu menang hari ini bagi memulihkan kembali moral selepas tewas 1-0 kepada Liverpool di pentas final Piala EFL.

Sementara The Whites pula mahu melakar kejutan ke atas musuh tradisi mereka dan mara ke suku akhir. Kali terakhir Leeds berbuat demikian ialah pada musim 2002-2003.

Meskipun dilabel pasukan bukan pilihan, anak buah Daniel Farke mengejutkan The Blues dengan mendahului seawal minit kelapan menerusi penyerang muda, Mateo Joseph.

Penyokong setia Chelsea kembali ceria apabila peledak Senegal, Nicolas Jackson menyamakan kedudukan pada minit ke-15.

Pemain sayap Ukraine, Mykhaylo Mudryk kemudiannya meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi gol pada minit ke-37. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, The Whites sekali lagi merentap semangat The Blues. Joseph yang menjadi duri dalam daging kepada tuan rumah meledakkan gol kedua pelawat pada minit ke-58.

Kedua-dua pasukan kemudiannya membuat beberapa pertukaran bagi mendapatkan sengat diperlukan untuk gol kemenangan.

Percaturan pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino memanggil Gallagher sebagai pemain gantian membantu tuan rumah meraih kemenangan.

Pemain tengah England itu yang masuk pada minit ke-61 melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol Leeds, Ilan Meslier pada minit ke-90. Keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Meskipun tewas hari ini, Joseph diiktiraf sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.0 mata.

Chelsea akan kembali fokus kepada aksi liga dengan menentang Brentford pada 2 Februari. Manakala The Whites pula akan turun dalam aksi setempat Yorkshire menentang jiran setempat, Huddersfield pada hari sama.