Pemain beregu wanita utama negara, M. Thinaah menyifatkan hubungan dengan rakan regu, Pearly Tan baik-baik saja.
Sebelum ini, ramai peminat badminton bimbang selepas melihat wajah suram mereka semasa pusingan pertama China Masters 2023.
Bagaimanapun, Thinaah memberi jaminan hubungannya dengan Pearly kekal akrab baik di luar mahupun dalam gelanggang.
Kini, fokus kedua-duanya ialah memburu lebih banyak mata bagi menjamin kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Fokus mereka ketika ini ialah kejohanan Petronas Malaysia Open 2024 yang bakal bermula pada minggu hadapan.
“Saya dan Pearly setakat ini baik-baik sahaja. Kami juga amat teruja untuk bermain dalam Terbuka Malaysia tahun ini.
“Memandangkan ia merupakan kejohanan pertama tahun ini, jadi kami amat teruja untuk bermain di laman sendiri.
“Dari dulu juga kami sudah katakan bahawa ketekalan merupakan masalah utama kami kerana apabila kami meningkat, ia amat ketara dan apabila ada penurunan, ia juga amat ketara.
“Saya fikir kami perlukan lebih penambahbaikan dalam perkara itu. Selain itu, kami hanya perlu lebih berkomunikasi dan bekerjasama di dalam gelanggang dan semuanya akan menjadi baik,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Syifa Nasir untuk Nadi Arena.
Ketika ini, Thinaah dan Pearly memegang status sebagai regu wanita nombor 12 dunia berdasarkan ranking terkini Persekutuan Badminton Sedunia (BWF).