Thomas Cup: Malaysia Tewas Tipis Di Tangan Denmark
UltraSukan
BA Malaysia
Advertisements

Malaysia terpaksa berpuas hati menamatkan aksi peringkat kumpulan Thomas Cup 2024 sebagai naib juara kumpulan setelah kecundang kepada jaguh Eropah, Denmark pada Selasa.

Aksi yang berlangsung di gelanggang dua ini penting buat kedua-dua negara bagi menentukan juara dan naib juara kumpulan D setelah mencatatkan dua kemenangan dalam perlawanan terdahulu.

Malaysia membariskan barisan terkuat yang dimiliki diketuai oleh bekas juara dunia, Soh Wooi Yik yang bakal bergandingan bersama Aaron Chia dalam saingan beregu lelaki.

Advertisements

Begitu juga dengan Denmark yang tampil dengan tiga pemain perseorangan yang berada dalam kelompok 30 terbaik dunia diketuai pemain nombor satu dunia, Victor Axelsen, Anders Antonsen dan juga Rasmus Gemke.

Perlawanan pertama pastinya menjadi tumpuan ramai apabila membabitkan jaguh negara, Lee Zii Jia dan Viktor Axelsen yang berlangsung sengit dengan kedua-dua pemain saling mengejar mata.

Advertisements

Zii Jia mempamerkan semangat juang tinggi meskipun ketinggalan jauh namun itu tidak cukup untuk menafikan kemenangan Axelsen 21-16, 24-22 sekaligus memberikan mata pertama untuk Denmark.

Skuad negara kembali mengikat kedudukan 1-1 menerusi beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turun berdepan pasangan senior dari Denmark, Kim Astrup-Anders Rasmussen.

Advertisements

Meskipun tumpas 17-21 di set pertama, naib juara All England 2024 itu menunjukkan kebangkitan memukau untuk merampas set kedua dan set penentuan dengan keputusan 21-17, 21-16.

Hasrat wakil perseorangan kedua negara, Leong Jun Hao untuk mencipta kejutan ke atas pemain keempat dunia dari Denmark, Anders Antonsen tidak kesampaian setelah kecundang dalam aksi dua set.

Advertisements

Antonsen jelas berada di kelas tersendiri untuk menundukkan Jun Hao dengan keputusan 21-14, 21-10 sekaligus meletakkan Denmark sekali lagi di hadapan dengan kedudukan 2-1.

Aksi keempat menyaksikan beregu kedua negara, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei dipaksa bekerja keras sebelum mencatatkan kemenangan ke atas Rasmus Kjaera-Frederik Sogaard.

Pasangan negara ini diberi tentangan sengit oleh lawan sepanjang permainan, namun itu tidak menggugat mental mereka untuk menyumbangkan mata kedua negara setelah menang 23-21, 22-20.

Dengan kedudukan terikat 2-2, pemain muda negara, Justin Hoh turun dalam perlawanan kelima dengan misi menghadiahkan mata kemenangan buat negara apabila menentang Rasmus Gemke yang berada di kedudukan ke-26 dunia.

Pertama kali menyertai Thomas Cup bukan halangan untuk pemain berusia 20 tahun ini tampil cemerlang di awal permainan apabila beberapa kali berjaya membuatkan Gemke terjatuh bagi membalas pukulan Justin.

Walau bagaimanapun, pengalaman yang dimiliki oleh wakil Denmark ini menjadi kelebihan utama buat dirinya untuk menundukan pemain muda negara dengan keputusan 21-13, 19-21, 21-15 untuk menghadiahkan mata kemenangan untuk negaranya.

Permainan tamat, Denmark 3-2 Malaysia.

Keputusan ini menyaksikan skuad badminton negara mara ke pusingan kalah mati selaku naib juara kumpulan D, mengiringi Denmark yang muncul juara kumpulan.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram