Peminat badminton Malaysia berpeluang melihat aksi jaguh-jaguh negara bersaing dalam Thomas Cup dan Uber Cup menerusi dua saluran berikut.
Dua saluran itu ialah Astro Badminton dan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Astro Badminton sudah diumumkan sebagai sebahagian daripada penyiar rasmi kejohanan menerusi senarai penyiar yang diumumkan Persekutuan Badminton Sedunia (BWF).
Selain Astro, RTM juga telah memaklumkan mereka menjadi penyiar rasmi kejohanan yang akan berlangsung dari 24 April hingga 4 Mei.
Semua perlawanan Thomas Cup dan Uber Cup akan disiarkan RTM menerusi saluran TV Okey dan RTMKlik.
Berita ini memberi kelegaan kepada peminat badminton negara kerana memiliki saluran alternatif untuk menonton kejohanan berprestij yang berlangsung di Horsens, Denmark itu.
Kontinjen negara bakal bersaing dalam Kumpulan B untuk Thomas Cup dan Uber Cup. Kontinjen Malaysia diketuai Aaron Chia akan berdepan cabaran England, Finland dan Jepun.
Satu lagi kontinjen negara diketuai M. Thinaah pula akan berdepan cabaran Turkiye, Afrika Selatan dan Jepun.