Thomas Dooley Realistik Peluang Bangladesh Lawan Malaysia
MakanBola
Bangladesh FF

Jurulatih Bangladesh, Thomas Dooley memilih bersikap realistik apabila ditanya peluang pasukan Asia Selatan itu menentang Malaysia dalam aksi pertama Kumpulan A FIFA ASEAN Cup.

Bekas jurulatih Sri Pahang FC itu ingin melihat Bangladesh mengejutkan Harimau Malaya lebih-lebih lagi dengan status pasukan itu sebagai pasukan ke-181 dunia.

Pada masa sama, Dooley percaya tugas tersebut bukan mudah. Ini kerana Malaysia juga memiliki misi memburu kemenangan dan mengelak dimalukan pasukan yang memiliki ranking lebih rendah seperti Bangladesh.

“Kami berjuang, kami cuba bermain bola sepak, dan kami cuba meraih keputusan terbaik yang mungkin. Namun, kami juga sedar bahawa Malaysia mempunyai pemikiran yang sama seperti kami.

“Apabila kami berdepan pasukan yang kedudukannya di bawah kami dalam kedudukan ranking, kami tidak mahu kalah. Kami tidak boleh tewas kepada Bhutan jika kedudukan mereka di bawah kami. Itulah perkara yang sering kami bincangkan.

“Begitu juga dengan cara Malaysia berfikir mereka tidak mahu tewas kepada kami. Jadi, kami perlu bersikap realistik,” katanya seperti dilaporkan ASEAN Cup Jakarta 2026.

Meskipun sedar dengan cabaran yang menanti anak buahnya, Dooley yakin Bangladesh mampu memberi tentangan sengit kepada semua lawan dalam Kumpulan A termasuk Malaysia.

“Memang amat sukar untuk meraih keputusan yang hebat menentang Malaysia, tetapi kami akan cuba melakukan yang terbaik.

“Kami menantikan tiga perlawanan menentang Malaysia, Indonesia, dan Singapura. Kami tahu ia akan menjadi cabaran yang sengit, namun kami percaya pada diri sendiri dan yakin walaupun sedar dengan kesukaran tersebut,” tambahnya.

Harimau Malaya akan berdepan Bangladesh di Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK) pada 25 September ini jam 5.00 petang waktu Malaysia.