Menjelang saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim 2024, juara bertahan musim lepas, Terengganu Hockey Team (THT) tampil dengan perancangan yang berbeza.
THT dijangka menampilkan majoriti pemain tempatan sebagai teras utama pasukan untuk kempen tahun 2024.
Ini sebahagian daripada perancangan jangka panjang pasukan itu bagi memberi lebih banyak pendedahan kepada pemain muda.
Menurut jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom, ini membuka peluang buat pemain-pemain muda bersaing dengan pemain-pemain berpengalaman untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.
“Kita guna 100% khidmat pemain tempatan. Sebab (kita) fokus bangunkan pemain muda dalam negara (dan) beri peluang kepada pemain remaja bersaing dengan pemain berpengalaman,” katanya kepada UltraSukan.
Meskipun menggunakan tenaga tempatan sebagai teras utama pasukan, THT dijangka diperkuatkan dengan dua pemain import dari Korea Selatan.
Dua pemain tersebut ialah pemain tengah, Jung Man-jae dan penyerang, Yang Ji-hun. Man-jae bukan asing dengan THT kerana pernah beraksi untuk pasukan itu pada tahun 2020.
Sementara ini kemunculan sulung Ji-hun dalam saingan LHM. Ji-hun dijangka tiba di Malaysia pada Jumaat ini.
Meskipun kehilangan beberapa tonggak seperti Marhan Abdul Jalil, Shello Silverius dan tonggak Korea Selatan, Jang Jong-hyun yang berhijrah ke pasukan lain, Harfizi tidak melihat itu sebagai halangan untuk meraih kejayaan pada tahun 2024.
“Kita cuba kekalkan kejuaraan tahun lalu. Tahun lepas, (kita raih) tiga kejuaraan (musim 2023). Mengekalkan kejuaraan tiga piala bukan mudah untuk pasukan. (Kita akan) bekerja keras dan berusaha sebaik mungkin,” tambahnya lagi.
Saingan LHM musim 2024 bakal membuka tirainya pada Jumaat ini.