Kedah Darul Aman tidak memiliki masalah untuk menundukkan Bukit Tambun tanpa Syafiq Ahmad.
Skuad kendalian Nafuzi Zain mengharungi aksi persahabatan menentang pasukan Liga A1 Semi Pro yang berlangsung di Stadium Darul Aman.
Babak pertama menyaksikan trio serangan Sang Kenari mempamerkan bisa dengan kapten pasukan, Sony Norde, Milos Gordic dan juga Ebenezer Assifuah masing-masing meledak satu jaringan.
Bersambung babak kedua, Kedah menambah 4 lagi jaringan hasil jaringan Sony, Assifuah dengan Fayadh Zulklifli dan Aiman Afif turut mencatat nama selaku penjaring.
Kedah tidak berdepan sebarang masalah untuk memperagakan aksi cemerlang tanpa kelibat watak penting iaitu Syafiq Ahmad.
Pemain berusia 28 tahun itu berada dalam senarai 27 orang pemain yang bersama Harimau Malaya bagi menghadapi tentangan New Zealand.
Syafiq beraksi cemerlang ketika membantu skuad kebangsaan menjulang Pestabola Merdeka 2024 selepas menundukkan Lubnan dengan keputusan 1-0.
Kedah sedang melakukan persediaan rapi bagi menghadapi tentangan Terengganu pada 19 Oktober 2024 di Darul Aman.