Selepas mengesahkan kemaraan ke Piala Asia B-17 tahun hadapan, kerja-kerja awal telah dimulakan bagi menyediakan pasukan yang terbaik dalam kejohanan utama itu.
Pengurus pasukan, Christopher Raj berkata, mereka kini merancang untuk mengadakan tiga kem latihan yang bertempat di luar negara. Antara yang menjadi pilihan adalah Timur Tengah, Jepun dan Korea Selatan.
“Untuk persiapan ke Piala Asia, kami merancang untuk mengadakan tiga kem latihan, diharapkan ianya diadakan di negara Timur Tengah dan juga negara Asia Timur seperti Korea Selatan dan Jepun,” jelas Christopher.
Umum mengetahui kekuatan pasukan Jepun dan Korea Selatan. Christopher berharap para pemain muda negara berjaya mendapatkan pendedahan pada tahap tertinggi memandangkan Piala Asia merupakan sebuah kejohanan yang besar.
“Pemain-pemain ini (Malaysia B-16) memerlukan pendedahan tahap tinggi sekarang kerana Piala Asia bukanlah sesuatu yang mudah. Kita mungkin akan berhadapan dengan negara terkemuka seperti Jepun, Korea Selatan dan Iran. Kami akan memastikan perancangan dan persiapan yang teliti buat pemain-pemain ini.” jelas Christopher kepada TheStar.
Ianya akan menjadi penampilan keenam Malaysia dalam Piala Asia Bawah 17 tahun selepas lolos ke kejohanan tersebut pada 2004, 2008, 2014, 2016 dan 2018. Pada tahun 2014, Malaysia hampir ke Piala Dunia selepas mara ke suku akhir Piala Asia namun hajat mereka telah disekat Australia.
Pada ketika itu, pasukan Malaysia dibarisi beberapa pemain yang hebat seperti Najmudin Samat, R.Kogileswaran dan Haziq Nadzli yang kini merupakan penjaga gol pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).