Advertisement
Tiga Senario Berbeza Menanti Aaron Chia & Wooi Yik
UltraSukan
UltraSukan
Olympic Malaysia

Harapan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk beraksi dalam saingan World Tour Finals (WTF) BWF pada Disember ini bergantung kepada tiga senario.

Kedudukan semasa Race to Guangzhou menyaksikan bekas juara dunia 2022 itu kini berada di kedudukan kesembilan dengan 66,690 mata. Sekiranya Aaron-Wooi Yik ingin layak, mereka perlu berada dalam kelompok lapan beregu terbaik.

Berdasarkan kedudukan semasa, mereka berada di belakang satu lagi beregu negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutawan-Mohd Reza Pahlevi Isfahani.

Hajat Wei Chong-Kai Wun untuk mengesahkan kemaraan ke WTF terbantut. Ini selepas beregu ke-14 dunia itu disingkirkan oleh beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dalam pusingan pertama China Masters 2024.

Ini membuka peluang buat Aaron-Wooi Yik untuk layak ke WTF. Pada masa sama, ada beberapa senario berbeza yang menjamin kelayakan mereka.

Senario pertama dan terbaik ialah Aaron-Wooi Yik berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir China Masters 2024.

Senario ini dilihat tiada masalah buat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu kerana mereka beberapa kali mara ke peringkat separuh akhir kejohanan jelajah BWF.

Seandainya perjuangan Aaron-Wooi Yik berakhir di peringkat suku akhir, kelayakan mereka bakal ditentukan oleh wakil Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi. Aaron-Wooi Yik boleh layak ke WTF dengan syarat regu Jepun itu tidak meraih gelaran juara China Masters 2024.

Sekiranya mereka tersingkir di pusingan kedua China Masters 2024, nasib Aaron-Wooi Yik bakal ditentukan oleh Hoki-Kobayashi atau beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.

Juara Korea Masters 2024 itu perlu berharap dua beregu berkenaan tidak meraih gelaran juara China Masters 2024 jika ingin layak ke WTF.

Aaron-Wooi Yik bakal berdepan rakan senegara, Nor Mohd Azriyn Ayub dan Tan Wee Kiong dalam aksi pusingan kedua kejohanan.