Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka mendapat sokongan padu penyokong menjelang aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Buriram United.
Ini kerana Harimau Selatan memaklumkan tiket untuk aksi berkenaan sudah habis dijual.
“Kita dapat satu lagi stadium penuh pada minggu hadapan! Tiket untuk aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elit menentang Buriram United sudah habis dijual!
“Satu malam bola sepak elit di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang penuh,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Tidak mustahil angka kehadiran untuk aksi tersebut bakal mengatasi angka kehadiran tertinggi ACLE di SSI.
Berdasarkan statistik, aksi JDT dan Pohang Steelers pada 18 Februari lalu menyaksikan kehadiran seramai 34,590 orang.
Angka ini mengatasi kehadiran satu lagi aksi ACLE membabitkan Harimau Selatan dan Ulsan HD iaitu 34,236 orang.
Kelebihan penyokong bakal ditagih JDT menjelang aksi timbal balik di SSI pada 11 Mac ini. Sebelum ini, Harimau Selatan dan Buriram terikat tanpa jaringan di Stadium Buriram pada 4 Mac lalu.